Assalammualaikum
PENGEMBARAAN ke Gunung Berembun membawa pengalaman menakjubkan buat mereka yang baru
berjinak-jinak dalam dunia kembara.Mana tidaknya, diri terpegun apabila melihat
betapa indahnya air terjun, landskap sungai yang teratur rapi, kawasan pokok
bonsai yang tumbuh liar, kepelbagaian hidupan dan tumbuh-tumbuhan serta laluan
yang mencabar, semuanya membuatkan pengembaraan kami bertambah manis.Terletak
di Dungun, Terengganu, Gunung Berembun yang mempunyai ketinggian 2077 meter
(6,817 kaki), terkenal dengan pemandangan air terjun yang memukau pandangan
sesiapa. Gunung ini amat sesuai untuk pencinta alam yang ghairah melihat
keindahan alam.Menariknya, terdapat tujuh kolam di Puncak Lansir dipercayai
mengikut cerita mitos dimiliki oleh Puteri Ulik Mayang pada zaman dahulu kala.
Atas dasar tersebut, kawasan ini menjadi pilihan untuk ahli Kelab Kembara Sekolah
Menengah Kebangsaan Pulau Nyiur mengadakan satu program reakrasi yang disertai
lebih 40 orang.Pendakian ke Gunung Berembun bukan mudah kerana ia memerlukan kekuatan
fizikal dan mental yang kuat untuk mengharungi kesukaran untuk sampai ke
destinasi.Namun berkat kesungguhan dan sokongan daripada semua peserta, kami
berjaya mengharungi pengembaraan ini dan ternyata pengalaman selama dua hari
cukup memberi makna kepada kami dalam membuka minda terhadap kekuasaan
pencipta-Nya.Meniti perjalanan ke Hutan Lipur Chemerung, ketibaan kami di
Kampung Pasir Raja, Dungun disambut kabus tebal yang menutup pemandangan.Kesejukan
embun pagi yang menyelubungi seluruh tubuh membatalkan hasrat kami untuk
berhenti sejenak bagi menikmati pemandangan berkabus.
Mengambil kira langkah keselamatan, setibanya
di pos polis bantuan pada pukul 5.15 pagi, kami menyerahkan surat permohonan
untuk memasuki hutan bagi memaklumkan pada pihak polis bahawa kumpulan kami
ingin mendaki Gunung Berembun.Ini bertujuan supaya seandainya kumpulan kami
tidak turun seperti yang ditetapkan, mudah bagi pihak polis menghantar bantuan.Sebelum
memulakan pengembaraan, semua anggota kumpulan dikehendaki melakukan senaman
pagi untuk mengelak berlakunya kekejangan otot semasa mendaki diikuti dengan
sarapan nasi himpit dengan kuah kacang bersama teh ‘o’.Ini diikuti dengan
taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas
pengembaraan serta peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.Peserta dan ahli
jawatankuasa kembara dibahagikan kepada lima kumpulan yang setiap kumpulan
dianggotai lapan orang.
Peluang melihat matahari terbenam adalah kemuncak kepada kembara
Gunung Berembun.
|
Dengan berbekalkan doa supaya pergembaraan
diberkati dan dirahmati kami memulakan perjalanan. Setelah hampir sejam
menyusuri denai, langkah kami tiba di Air Terjun Chemerung.Pujian terhadap
pencipta-Nya tidak putus dari mulut kami sambil menikmati keindahan panorama di
kawasan itu sementara menunggu kumpulan seterusnya tiba.Kami juga tidak
melepaskan peluang mengambil gambar untuk diabadikan sebagai kenangan. Puas
menjamu mata dan melepaskan lelah, kami merentasi sungai untuk menuju ke
destinasi seterusnya. Lebih asyik apabila pengembaraan kami ditemani alunan
sungai dan kicauan burung yang seolah-olah menyambut kedatangan kami.
Cabaran ekspedisi mula terasa dalam perjalanan menuju ke Kem Balak
kerana laluan yang perlu ditempuhi mencanak dan kadang-kala agak landai.
Peserta sentiasa diingatkan supaya lebih berhati-hati untuk mengelakkan
sebarang kemalangan.Sungguhpun laluan yang ditempuh tidak sekata, menurut jurupandu
kami itu bukanlah cabaran besar kerana yang lebih getir sedang menunggu bila
ekspedisi diteruskan untuk menuju ke Kem Air Terjun Lansir.Pun begitu, ia tidak
sedikit pun melemahkan semangat kami dan akhirnya kami semua berjaya menawan
puncak Gunung Berembun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Kejernihan air sungai yang menyejukkan pandangan
mata.
|
Perjalanan pulang pada hari terakhir membawa
kami menyusuri laluan naik turun serta terdapat juga pendakian. Tetapi boleh
dikatakan laluan menurun lebih banyak jika dibandingkan menaik ataupun mendaki.Pengembaraan
ke Air Terjun Chemerung diteruskan setelah berhenti berehat seketika di check
point sebelumnya. Tepat pukul 5.15 petang kami tiba di Air Terjun Chemerung
untuk makan dan menunaikan solat.Setelah selesai, pengembaraan diteruskan untuk
keluar dari kawasan hutan. Kumpulan pertama tiba tepat jam 7.30 dan para
peserta diarah bersiap dan berkemas-kemas sementara menunggu kumpulan kedua
tiba.Sepanjang kembara, selain menimba pelbagai pengalaman menarik, program ini
boleh dianggap berjaya sebagai platfom mahasiswa untuk berorganisasi, mengasah
bakat kepimpinan, menguji ketahanan mental dan fizikal dan mengeratkan hubungan
silaturahim antara satu sama lain.Setiap detik, setiap langkah dan setiap
jalinan kerjasama yang ditonjolkan itulah semangat kembara!
0 comments:
Post a Comment