Thursday 9 February 2012

Artikel : Hargai Jasa Ibu & Bapa

Assalammualaikum


 Setiap tahun kita akan menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa. Ini kerana , banyak sumbangan yang telah diberikan daripada mereka yang bernama ibu dan bapa. Sempena sambutan itu , kita kerap mendengar di radio dan TV ucapan selamat untuk ibu dan bapa mereka dari anak yang sangat prihatin. Pelbagai jenis perkataan mendatar dan penuh simbolik sarat dengan perasaan dan air mata. Namun , menghargai ibu bapa bukan hanya sekadar dengan perkataan sekali setahun tetapi tindakan dan perbuatan selaras dengan ungkapan :

" Gembirakan mereka bukan sekadar ucapan sekali  setahun ketika sambutan hari tertentu "

Sebagai seorang anak , mestilah mendengar naihat ibu bapa ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Kita juga tidak boleh bercakap kasar dan meninggikan suara pada ibu bapa. Kita juga haruslah sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa sekurang-kurangnya sebanyak lima kali setiap kali menunaikan solat fardhu. Selain itu , Kita haruslah menjaga kebajikan mereka seperti makan minum dan kesihatan. Ibu bapa kita sepatutnya diberi belanja bulanan mengikut kemampuan kita apatah lagi jika mereka miskin. Bagi ibu bapa yang mampu , pemberian itu dianggap satu penghargaan. 

Janganlah sesekali kita bersikap keras kepala , kurang ajar dan menengking ibu bapa kita . Gunakan bahasa yang sopan ketika bercakap dengan mereka walaupun untuk menegur kemungkaran. Janganlah kita meretakkan hubungan mesra dan kasih sayang kita dengan ibu bapa. Jika kita bersama pasangan di rumah atau di mana-mana berserta dengan ibu bapa , lebihkanlah ibu bapa. Andai ibu bapa sudah tua dan uzur, jagalah kesihatannya dan jangan sesekali menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Ini bagi mengelak perasaan dan jiwa ibu bapa tersisih atau dipinggirkan. Layanlah mereka yang tua dan uzur dengan tenang , sabar dan tabah. Gembirakan mereka dan berikan kebahgiaan kepada mereka kerana tiada yang lebih gembira melainkan anak-anak mereka sendiri.


Firman Allah ada menyatakan mengenai tanggungjawab dan kewajipan seorang anak terhadap ibu bapa yang bermaksud :

“Dan, Kami (Allah) mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya) ; dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Daripada firman Allah ini , memperincikan bahawa beberapa perkara yang wajib disedari iaitu anak diwajibkan berbuat baik kepada ibu bapa dan manusia wajib bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada mereka. Jika ibu bapa meninggal dunia , beberapa perkara kebaikan dan adab baik harus dilakukan terhadap mereka antaranya :

1. Berdoa dan beristigfar – memohon Allah kurniakan keampunan mereka supaya dimasukkan mereka ke dalam golongan orang yang soleh.
2. Menyempurnakan perjanjian, jika ibu bapa mengikut sebarang perjanjian dengan orang lain.
3. Memuliakan saudara dan sahabat handai si mati. Anak hendaklah menghormati dan memuliakan saudara dan sahabat handai si mati seperti yang dilakukan oleh ibu bapa ketika hayat mereka masih ada.
4. Menyambung silaturahim kepada orang lain yang tidak sempat disambung oleh si mati sebelum meninggal dunia.

Hanya orang yang mempunyai anak akan tahu betapa cintanya ibu dan bapa kepada anaknya. Mereka tidak pernah mengharapkan balasan daripada anaknya. Balasan untuk ibu bapa daripada anak adalah sentiasa melakukan amal ibadat dan bersopan santun dalam kehidupan seharian.

Hadis Rasullulah s.a.w ada menyebut: “ Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, memanfaatkan ilmu yang diambil orang dan anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.”

Banyak kata-kata mengenai anak dan ibu bapa antaranya:
"Anak yang baik bukan lahir daripada ibu bapa yang tidak mngenal orang tunaya . Anak adalah gambaran ibu bapanya. Orang tualah yang membentuk hitam dan putih peribadi seseorang anak itu seperti sehelai kain yang putih"

Penuhi Hak Ibu Bapa

Ingatlah , betapa besarnya kasih sayang ibu bapa kepada kita. Mereka memberi perhatian yang amat serius mengenai tempat tinggal, makan minum, pendidikan serta penjagaan kita pada setiap masa. Mereka sering bimbang ketika kita sakit hingga pekerjaan lain ditinggalkan demi merawat kita. Wang yang mereka cari dengan susah payah rela dikeluarkan tanpa berfikir panjang. Mereka bekerja keras siang malam demi memberi nafkah kepada kita. Dengan teringat jasa mereka, kita akan mengetahui kadar penderitaan pada waktu mereka membimbing diri kita hingga beranjak dewasa.

Allah telah berfirman bermaksud: ”Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”.(Surah An Nisaa’ : Ayat 36)

Ayat di atas menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menduduki peringkat kedua selepas mentauhidkan (mengesakan) Allah dalam beribadah. Sebab itu tidak mungkin terjadi bagi seorang yang mengaku bertauhid kepada Allah, tetapi ia derhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Allah yang Mencipta dan Memberikan rezeki.
Maka Allah sahajalah berhak diibadahi. Ibu bapa adalah sebab adanya anak. Maka kedua-duanya berhak diperlakukan dengan baik. Oleh itu menjadi kewajipan bagi seorang anak untuk beribadah kepada Allah kemudian diiringi dengan berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.
Andai kelak kita menjadi ibu bapa, tidaklah kita akan kecewa dan bersedih hati apabila anak kita berkata kasar kepada kita – ibu bapa yang membesarkannya. Lalu, apakah kita sampai hati melakukannya terhadap ibu bapa kita saat ini? Merekalah yang selalu berusaha meredakan tangis kita ketika kecil.

Ingatlah bahawa doa orang tua terutama ibu adalah doa mustajab. Maka janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka meskipun kita dalam pihak yang benar. Sesungguhnya hak ibu bapa kita atas diri kita lebih besar dan berlipat ganda banyaknya sehingga apapun kita lakukan dan sebesar manapun penderitaan kita rasakan ketika kita membantu mereka, hal itu tidak akan dapat membalas jasanya.
Ketika Abdullah bin Umar melihat seseorang mengendong ibunya untuk tawaf di Kaabah dan kemana saja si ibu inginkan, orang itu bertanya: “Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?” Jawab Abdullah bin Umar: ”Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua-dua orang tuamu.”
Tidakkah kita ingin diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah? Sabda Rasullulah s.a.w: “Barang siapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali siratulrahim.” (Hadis Riwayat: Bukhari, Muslim, Abu Dawud) sesungguhnya ibu bapa keluarga terdekat kita. Mereka mempunyai hak yang lebih untuk kita dahulukan dalam masalah siltulrahim.

Mereka selalu berada di sisi kita baik ketika bahagia mahupun duka, berkorban dan selalu menolong kita lebih daripada teman kita. Lalu masih enggankah kita membalas segala pengorbanan mereka? Berbuat baik kepada ibu bapa adalah keharusan, bahkan harus didahulukan daripada fardu kifayah serta amalan sunnah lainnya-didahulukan daripada jihad dan hijrah di jalan Allah. Pun harus didahulukan daripada berbuat baik kepada isteri dan anak.
Taatilah mereka dan janganlah kita menentang kedua-duanya sedikit pun kecuali apabila mereka memerintah kita supaya berbuat maksiat. Rasullulah bersabda bermaksud : “Tidak ada ketaatan bagi makhluk apabila pada saat yang sama bermaksiat kepada Sang Pencipta.”

Firman Alah bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (nerbuat baik) kepada orang tuanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuannya mengenai itu, maka janganlah kamu mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritahukan kepadamu apa yang kamu kerjakan.”(Surah Luqman:14-15)

Ingatlah bahawa seburuk manapun ibu bapa kita, kita tetap tidak akan membalas semua jasa mereka. Yang perlu kita lakukan hanyalah tidak mentaati ibu bapa ketika mereka menyuruh kita untuk bermaksiat. Tidakkah kita ingin menikmati kebenaran dan keindahan Islam bersama mereka? Tidakkah kita inginkan kebaikan dan keselamatan bagi mereka sebagaimana mereka selalu ingin kebaikan dan keselamatan bagi kita? Tidakkah kita ingin agar Allah mempertemukan kita di jannah-Nya.
Justeru, bersabarlah dalam membimbing dan berdakwah pada mereka sebagaimana mereka selalu sabar dalam membimbing dan mengajar kita dahulu. Ingatlah bahawa satu doa mustajab adalah doa daripada seorang anak yang soleh untuk orang tuanya.
Sabda Rasullulah bermaksud: “ Apabila manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah pasti mengangkat darjat bagi hamba-Nya yang boleh ke syurga.” Maka ia bertanya: “Ya Allah, bagaimana itu boleh terjadi? Allah menjawab: “Berkat istigfar anakmu untukmu.”
Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda:”Kelak akan dating kepada kamu sekalian seorang bernama Uwais bin Amir, anak muda yang belum tumbuh janggutnya, keturunan Yaman dari kabilah Qarn. Pada tubuhnya terkena penyakit kusta, namun penyakit itu sembuh daripadanya kecuali tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai ibu yang yang dia sangat berbakti kepadanya. Apabila dia berdoa kepada Allah nescaya dikabulkan, maka jika engkau bertemu dengannya dan memungkinkan minta padanya memohonkan ampun untukmu maka lakukanlah.”

Menyedari hakikat ini, janganlah kita enggan untuk berdoa demi kebaikan orang tua kita. Sekeras apapun usaha kita lakukan, apabila Allah tidak berkehendak, nescaya tidak akan terjadi. Hanya Allah lah yang mampu memneri petunjuk dan membukakan pintu hati kedua orang tua kita. Mintalah pada-Nya kerana tidak ada yang tidak mungkin bagi-Nya. Bermohonlah terus pada-Nya dan janganlah bosan meskipun kita tidak tahu bila doa kita akan dikabulkan.
Seandainya Allah tidak berkehendak untuk memberi mereka petunjuk hingga ajal menjemput mereka, ingatlah bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Janganlah berhenti berdoa kerana sesungguhnya doa anak soleh untuk ibu bapanya tidaklah terputus amalannya meskipun mereka sudah meninggal. Semoga Allah menyelamatkan kita dan keluarga kita daripada api neraka serta mengumpulkan kita dalam jannha-Nya.





"Thanks for reading this post ;)"

0 comments: